Friday 4 October 2013

Buat renungan semua anak di dunia. Baca dan hargai ibu anda.


MANA MAK???







Renungkan.

Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, "Along mana?'
Mak jawab, "Ada di dapur tolong siapkan makan."
Ayah tanya Mak lagi," Angah mana?" Mak jawab, "Angah mandi, baru balik main bola."
Ayah tanya Mak, "Ateh mana?"
Mak jawab, "Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?" Ayah tanya lagi, "Adik dah balik?" Mak jawab, "Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik."

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua Puluh Tahun kemudian
Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, "Mana Mak?" Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, "Tak tahu." Ayah tanya Angah, "Mana Mak?" Angah menonton tv. Angah jawab, "Mana Angah tahu." Ayah tanya Ateh, "Mana Mak?" Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, "Entah." Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, "Mana Mak?" Alang tidak jawab. Alang hanya menggoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan Facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bongsu bersuara, "Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!"

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak.

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kuih koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kuih koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kuih koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kuih koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kuih koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telefon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, "Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka."

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kuih koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "Mana mak?". Hanya Adik yang jawab, "Mak dah tak ada."
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kuih koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah SAW, ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. 
Sharekan pada yg lain andai anda sayang ibu anda.



Just click here!

Monday 8 July 2013

Azam Baru Ramadhan


LAHIR DAN BATINKU UNTUK RAMADHAN




-Aku berniat menjaga lisanku Dari perkataaan yang buruk mulai sekarang

-Aku berniat menjaga telingaku dari hal yang Buruk mulai dari sekarang 

-Aku berniat Menjaga Hidung Dari Hal yang Makruh mulai dari sekarang

-Aku berniat Akanku Jaga Hatiku dari perasaan dan sangkaan buruk Mulai sekarang

-Aku berniat Menjaga tanganKu Dari sesuatu yang Haram dari sekarang

-Aku berniat Menjaga Mataku Dari yang Haram mulai Dari sekarang

"Aku berniat Menyambut Bulan Suci Ramadhan Lahir Dan Batin Dengan Penuh Keimanan"




"MARHABAN YA RAMADHAN"



Thursday 13 June 2013

"Along nak ibu tahu along sayang ibu ketat-ketat"



Hello, lama rasanya guwa tak hupdate cerita kan? Hari ini guwa nak cerita sikit pada korang. Harap dapat baca cerita ini sampai habis sebab cerita ni agak panjang. Share jika ia membuatkan air mata anda mengalir.


                                                          *************

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?" Marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?" Leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia melihat si ibu bergegas pergi mencari sesuatu dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.

Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. "Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakit, sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah
Along menjerit kesakitan. "Sakit bu, sakit…maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi.Bu, jangan pukul bu..sakit bu.. "

Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. "Bu, ampunkan Along bu,bukan Along yang mulakan, bukan Along bu, sakit bu..!!" Rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.

Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang.

Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini.

Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM.

Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu.

Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka. "Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu.

Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" "Eh! jangan, nanti dulu… Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!" Si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan…"Anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya" bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?" Soalnya lagi. Atih masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum.

Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo.. patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?" Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. "Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!" Terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni untuk Along pun!" Soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak.

Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. "Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas" Arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. "Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni" Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu.

Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. "Laa..kau ke, apa kau buat kat sini?" tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. "Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?" soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak beli dan hadiahkan kepada mak aku" Jelas Along jujur. "Waa..bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli, aku bagi potongan harga 50%. Macam mana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. "Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!" Along meminta kepastian.

"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!" Balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk bahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. Pada kau ada berapa ringgit sekarang ni?" soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu.

Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!" pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja.

Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?" Soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah" Leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selambar seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.

"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu" Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. "Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu”" Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh.

Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya. Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru.. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya.

Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar B. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.

Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari. Justeru dia terpaksa berbohong agar ibunya tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal. Upahnya lima belas ringgit sehari. Along rasa sangat bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membelikan jubah untuk ibu.

Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali memandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti hari-hari yang sebelumnya, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sydah lebih 10 hari Along bekerja di situ. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah ke?" Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. "Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?"

Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulutnya tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. "Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih.

"Azam, kau ada cita-cita tak ataupun ada impian apa-apa ke?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. "Ada!" Jawab Along pendek. "Kau nak jadi apa satu masa nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku atau apa?" Along menggeleng-gelengkan kepala. "Semuanya tidak! Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu.

"Ala, gurau ja la Abang Joe… Sebenarnya, saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan saya nak jadi anak yang soleh!" Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni" Ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga.

Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. "Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe" Kata Along lagi. "Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?" soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah-anggap tentang soalannya tadi.

Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju" Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. "Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari
rumah ke?" Soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. "Along hanya tersengeh menampakkan giginya. "Azam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk siMalik tu?" "Tak pe lah, perkara dah berlalu.lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, Terang Along dengan tenang.

"Kau jadi mangsa Azam. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”, kata Fariz lagi. "Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!" "Azam..kau ni.." "Aku ok, lagipun aku tak mahu menyusahkan lagi ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah tu lagi" Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.

"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, ok!" pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. "No problem, tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" Soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along. "Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!" Jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk. "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"

"Hari ni laâ.." Balas Along.

"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ya?"
"Bukan, minggu depan"
"Habis? Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?" Soal Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni je yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi" Jawabnya sambil mengukir senyum.



Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motorsikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang dipandu laju cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing yang tiba-tiba muncul di depannya. Pemandu kereta itu menekan brek dan mengelak tapi dek jalan yang licin, ia hilang kawalan. terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.


Gambar Hiasan

 Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakainya mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya. Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu. Dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu.

Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul wanita tersebut. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu.

Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih di genggamannya itu. "Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk iiiiiibu" Itu saja yang termampu diucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Sebaik habis mengukir senyuman bahagia itu, Along terasa kesakitannya sudah tidak tertahan lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih semakin sayup terdengar. Matanya sudah sangat berbinar. Di gagahnya menahan matanya untuk terus menatap wajah ibunya selama yang mungkin.

Along sudah kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Si ibu begitu cemas bercampur sebak dan sedih. Kepala dan tubuh Along dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Along di bawa ke hospital dan disahkan sudah meninggal dunia. Siibu menangis semahu-mahunya menyesali tindakannya terhadap Along. Dia lebih menurut nafsu dan emosi. Along sudah pergi untuk selama-lamanya. Tangisan dan penyesalan tidak akan mengembalikan Along ke pangkuannya semula. Sebaik pengebumian jenazah Along, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan.

Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita separuh umur itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami.. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan dia jugak cakap, ibunya iaitu mak cik sebagai seorang perempuan gila. Azam pukul Malik sebab tak sanggup mendengar Malik menghina ibu dan ayahnya"

Cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz? Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab..Azam tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa itu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula" Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Siibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Lidahnya kelu untuk berkata-kata lagi. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap anak derhaka.

Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ˜Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap Along selama ini. Andai Along melukakan hati ibu, Along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu dan terimalah hadiah ini dari anakmu yang banyak menyusahkanmu....UNTUKMU IBU!"

Kad itu dilipat dan dicium. Air matanya sekali lagi melunjur deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi siibu menangis semahu-mahunya. Segala perasaan sedih, pilu, sayang, menyesal dan marahkan diri bercampur baur di dalam dadanya. Setelah beberapa lama, siibu tenang semula. Di dalam hatinya siibu berkata "Ya Allah!! Aku mohon ampun padamu atas apa yang sahaja kesalahan aku kepada anak ini. Kau saksikanlah Ya Allah bahawa aku meredainya sebagai anak yang soleh.. Engkau tempatkanlah Along anakku ini di dalam syurgaMu yang kekal abadi!"

Mereka terus terkenangkan Along... sedangkan di depan mereka di sebalik alam nyata, berdiri ruh Along memerhatikan Ibunya dan mereka. Along hanya tersenyum melihat keluarganya yang sudah menyaksikan kebenarannya. Along berbahagia menerima kiriman doa yang sangat berharga dari Ibunya..... Ruh Along terus terbang jauh-jauh menuju kesejahteraan dan kebahagiaan yang sebenarnya di alam sana...

Share jika anda menangis Membaca kisah ini....



Wednesday 22 May 2013

Niqab yg Menutup Wajah itu Satu Perjuangan



~ Sebuah perkongsian pengalaman seorang pelajar IPT ~



Dewan kuliah besar pauh putra tiba-tiba sunyi dan senyap setelah seorang professor menolak pintu.

Aku yang sedang membelek-belek jadual waktu mengangkat wajah.

Menyoroti langkah pensyarah ke bahagian hadapan dewan sambil membetulkan dudukku.

Aku capai buku nota kuliah di dalam beg galas yang berada dihujung kaki.

"Assalamualaikum dan selamat pagi..welcome back to a new semester.

Tahniah kerana anda menjadi pelajar saya dan selamat datang ke kuliah pertama untuk subjek thinking skill"

Ujar lelaki yang usianya dalam lingkungan 40-an.

Dia melemparkan senyum kepada seisi dewan.

Lontaran salam itu dijawab oleh pelajar yang hampir memenuhi dewan.

Aku menjawab perlahan yang tahap bunyinya hanya mampu didengar oleh diriku sendiri.

Ada senyuman yang megah meniti di bibirnya.

Aku mengerutkan dahi.

Cepat2 aku istighfar.

Tak mahu bersangka buruk kepada seseorang yang baru sahaja aku kenal.

"Ok class. My name is Professor Madya Dr Rashid Salleh.

I am your lecturer for this subject.

Hmmm..hari ini saya tidak bercadang untuk mengajar anda semua.

Kuliah kita yang sebenar akan bermula pada minggu depan.

Minta anda semua menanda kehadiran pada hari ini yaa.."

Prof Rashid menghulurkan beberapa helaian kertas yang terdapat senarai nama untuk ditanda kehadiran oleh pelajar-pelajar yang hadir pada hari itu.

"Ok....let's start ice breaking!!" 

sambungnya sambil memandang ke arah tengah dewan.

Lebih tepat lagi ke arah tempat dudukku.

Anak matanya mati tepat ke arahku.

Waktu itu aku menundukkan pandanganku.

Sudah aku tahu apa yang bermain di fikiran lelaki hampir separuh usia itu.

Debaran mula dirasai.

Nafasku tidak menentu di sebalik cebisan kain yang menutupi wajahku.

"I want to start from right. Please introduce your name, hometown and your course."

Fuhhhhh!!..Aku melepaskan nafas lega.

Risau jika aku dipanggil ke depan dan diminta keluar dewan kerana penampilan aku sebegini..

ALhmdulillah...

Tidak seperti yang dijangkakan oleh fikiran.

Seorang demi seorang pelajar memperkenalkan dirinya sehinggalah sampai kepada giliran aku.

"Saya Ummu Ummairah binti Abu Bakar. Berasal dari Kelantan.

Pelajar dari kejuruteraan kimia."

Aku merasakan dewan kuliah besar itu sunyi sepi.

Udara yang memasuki hidungku terasa dingin. 

"Hmmm...kamu tahukah yang peraturan universiti di Malaysia ini tentang larangan berpurdah di dalam kawasan kampus..??"

Tanya Prof Rashid tenang.

Tiada terlalu kuat.

Tapi kedengarannya di telingaku cukup sinis.

Aku berdiri sambil menundukkan kepala.

Mataku pejam rapat2 seketika untuk mencari kekuatan.

Aku mengangguk perlahan.

Tidakku pasti samada pensyarah berjaket biru gelap itu melihat anggukanku kerana dia sudah mula mengatur langkah kembali ke depan dewan.

Sunyi.

Pelajar semua diam. Dan aku tersangat yakin yang semua mata sedang memandang ke arahku.

"Saya bagi kamu pilihan.....samada kamu ingin membuka purdah kamu atau kamu mahu meninggalkan dewan kuliah ini dan menggugurkan subjek saya.

Saya pantang jika pelajar melanggar peraturan."

Tersentak aku.

Tidakku sangka aku diberi pilihan yang sebegitu oleh seorang pensyarah yang beragama "ISLAM"

Seseorang yang hidupnya sebagai seorang Islam.

Ya ALLAH.....KAU berikanlah aku kekuatan!

"Untuk membuka purdah ini...itu jauh sekali.

Jika kehilangan nyawa sekalipun belum tentu saya akan membukanya.

Saya minta maaf prof....

Saya memilih untuk meninggalkan dewan sekarang.

Tapi saya tidak akan menggugurkan subjek ini.

Prof hanya perlu bagitau saya kelas thinking skill yang mana lagi selain kelas prof saya boleh ikuti jika prof tidak mahu saya menjadi pelajar prof."

Tenang dalam ketegasan aku saat itu.

Hanya pandangan mata yang redup yang mampu aku pamerkan.

Riak wajahku takkan mampu dibacanya.

Kelas sunyi dan terus sunyi.

Aku duduk dan megambil nota-notaku diatas meja dan memasukkannya ke dalam bag tanpa mempedulikan sesiapa.

Aku sedayanya cuba mengawal suaraku untuk mengelakkan diri dikatakan biadap.

"owh ya??...selalunya orang yang bersikap macam inilah yang menghancurkan organisasi.

Menghancurkan negara kerana keengganan untuk mematuhi peraturan.

Kamu pelajar dan kamu terikat dengan peraturan di sini."

sinis kata-kata itu.

Aku terkaku.

Ya ALLAH..sungguh..aku sedang diuji..

Dan aku harus pertahankannya.

Aku harus membuka mata hatinya tentang hakikat sebuah peraturan.

"Kenapa harus mematuhi peraturan yang digubal manusia yang mengikut kehendak dan kemahuan diri sedangkan manusia itu sendiri tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.???

Kenapa pelajar tidak boleh untuk berpurdah dan mengamalkan sunnah seperti yang telah diajar oleh Islam.???"

Soalku penuh kelembutan.

Begitulah sifat yang ada padaku.

Dalam marah dan tegas itu ada kelembutan yang aku sendiri tidak pasti dari mana lahirnya.

Prof Rashid memandang tepat ke arahku sambil membetulkan kaca matanya..

Disilang tangannya ke dada..

"Dan kenapa kamu memilih untuk berpurdah??

Apa tidak ada sunnah lain yang boleh kamu ikut selain berpurdah??

Banyak keburukannya untuk institusi pendidikan di Malaysia.

Apa wajah kamu terlalu cantik untuk dipamerkan??.."

Ada ketawa kecil dan sinis kedengaran memenuhi seisi dewan.

Ketawa yang dibuat-buat itu buat hati aku sedikit terusik.

Mungkin tercalar dan sakit..

Aku tarik nafas sedalamnya, cuba mencari ketenangan di dalam dada sebelum bersuara untuk sekelian kalinya.

"Maafkan saya sekali lagi prof.

Bukan saya mahu berlagak pandai dan bijak kerana saya tahu prof jauh lebih bijak dari saya.

Tapi satu perkara yang prof harus tahu yang ada 3 sebab untuk berniqab.

Pertama seseorang itu berniqab kerana kecantikan dan kejelitaan wajahnya sehingga wajahnya menjadi fitnah dan tarikan seorang lelaki sehingga menaikkan syahwat.

Dalam keadaan ini wajib untuk dia berpurdah.

Kedua, diharuskan seseorang itu untuk berpurdah kerana memiliki wajah yang kurang cantik@ mempunyai kecacatan pada wajahnya sehingga dia menjadi bahan ejekan, cacian dan hinaan.

Oleh sebab itu dia mahu menutup keaiban dirinya.

Yang ketiga, berpurdah bagi seseorang yang merasai dia mampu untuk menjaga dan memelihara kecantikannya hanya untuk tatapan suaminya..

Juga menjadi ibadah dan sama dengan perbuatan isteri-isteri Rasulullah saw dan para nabi.

Itu amat digalakkan.

Alhamdulillah..saya bukanlah dalam kategori perempuan yang csntik dan jelita paras rupa sehingga menjadi tarikan para lelaki.

Dan syukur pada ALLAH kerana saya juga bukan dalam golongan yang mempunyai kecacatan pada wajah yang menyebabkan saya untuk menutup keaiban itu..

Tapi saya memilih purdah itu kerana sebab yang ketiga.

Kerana ibadah ikhlas kerana ALLAH..

insyaALLAH.."

Dewan masih lagi sunyi saat aku menghabiskan kata-kata terakhirku.

Sungguh! Aku sudah tidak betah untuk terus berada di situ.

Aku sandang begku ke bahu dan terus melangkah menuruni tangga dewan menuju ke pintu keluar.

Aku memberhentikan langkah berhampiran prof Rashid.

"maafkan saya andai ada terkasar.

maafkan saya andai menyakitkan hati prof.

Prof harus tahu.

Kita hamba ALLAH..bukan hamba pada manusia....

assalamualaikum.."

Aku terus mengatur langkah keluar.

Waktu itu Prof kelihatan kematian kata.

Aku tidak tahu apa yang berlaku di dalam dewan selepas itu.

"Alhamdulillah.."

Terpancul lafaz yang mulia dan damai itu..

Benar..

Aku lega dan tenang kerana aku sudah lakukan sesuatu yang aku rasakan betul.

Rahmat ALLAH seperti bersamaku saat itu..

Kaki terus aku atur pulang ke kolej kediaman.


Dalam hati terdetik..'Akanku terus berjuang untuk secebis kain ini kerana cinta dan kasihku padaMU ya ALLAH.."






Senyum (: